Seramai 12 orang peserta telah diumumkan sebagai TOP 12 Ratu Hijabista 2020. Hijabista sebagai satu-satunya jenama majalah dan digital di Malaysia yang menjadi rujukan lengkap fesyen, gaya hidup dan kecantikan untuk fashionista bertudung membawakan rancangan realiti Ratu Hijabista.

Dalam sidang media pengenalan Ratu Hijabista 2020 sebentar tadi juga telah menyaksikan pengumuman hos dan juri tetap untuk musim ini.

Puan Sri Normala Samsudin telah diumumkan sebagai juri tetap Ratu Hijabista 2020. Manakala pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim pula diberi mandat untuk mengendalikan pencarian kali ini sebagai hos program.

IKLAN

Pencarian Ratu Hijabista yang diadakan buat julung kali ini membuka peluang kepada semua wanita berhijab tanpa mengira status. Ujibakat secara dalam talian telah pun berlangsung selama 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2020.

Para peserta bukan sahaja mempertaruhkan rupa tetapi juga bakat serta personaliti menarik untuk dinobatkan sebagai juara di penghujung pencarian.

Program realiti Ratu Hijabista akan bersiaran selama sejam setiap minggu untuk lapan episod setiap Rabu bermula 12 Ogos 2020 jam 9 malam di saluran Astro Prima.

Pemenang Ratu Hijabista akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, tiara dan berpeluang menjadi penghias kulit majalah Hijabista keluaran Januari 2021.