Apabila berkahwin, seringkali kita mendengar tentang kisah ibu mentua yang tidak ‘ngam’ dengan menantu terutama menantu perempuan. Pendek kata ada-ada sahaja yang tidak kena di mata mentua.

Ye memang betul apabila kita berkahwin dengan pasangan, kita bukan sahaja berkahwin dengan si dia sahaja tetapi seluruh keluarganya. Oleh itu tentunya kita perlu mempunyai hubungan yang baik dengan seluruh keluarga.

Konflik akan timbul, biasanya antara ibu mentua dengan menantu perempuan kerana mungkin ibu mentua terlalu cerewet dan sebagainya.

Berikut perkongsian Akhtar Syamir.

Kebanyakan dari kita sudah berkahwin dan mempunyai anak. Sedar atau tidak, suatu hari nanti, In Shaa Allah kita juga akan menjadi mentua.

Di sini saya senaraikan apakah perkara, perbuatan dan kelakuan yang mesti dielakkan supaya kita juga, suatu hari nanti tidak akan menjadi Mentua Dari Kayangan.

1. Jangan amalkan sihir. Kalau benci sangat kat menantu sekalipun, jangan main bomoh. Sudahlah berdosa besar, keluarga anak sendiri pun porak peranda. Silap-silap sampai ke tua anak tu takkan bahagia.

2. Jangan membanding-bandingkan menantu. Tak kira la dari segi kekemasan rumah, kerajinan, kecantikan, kerja, cara melayan anak dia, harta benda dan sebagainya.

3. Jangan merendah-rendahkan menantu yang tak kaya dan mengangkat tinggi menantu yang kaya. Duit yang banyak tu tak boleh bawak masuk kubur pun. Yang penting kebahagiaan mereka sekeluarga.

4. Jangan menyibuk hal harta benda anak dan menantu. Mereka sudah besar dan biar mereka uruskan kewangan sendiri. Tak perlu masuk campur.

5. Jangan melaga-lagakan menantu. Ini mungkin ramai yang tidak sedar. Apabila di rumah menantu sulung, jangan puji sangat menantu yang bongsu. Bila di rumah menantu kedua, jangan melampau bercerita pasal menantu yang lain pula. Ini umpama melaga-lagakan mereka sedangkan menantu dan birasnya tiada masalah pun.

6. Jangan mengutuk fizikal dan rupa paras menantu. Tak kira la di depan menantu itu sendiri atau di depan orang lain. Hitam? Putih? Gemuk? Kurus? Tinggi? Rendah? Cantik? Buruk? Body shaming oleh mentua sangat menyakitkan hati sebenarnya.

7. Jangan memburukkan menantu dengan anak yang lain. Mak sendiri dah jadi ketua membawang, sama-sama mengutuk dan mengumpat menantu dan kakak ipar anak-anak tu.

IKLAN

8. Menantu bukan pilihan? Yang nak bersama dengan anak sampai ke hari tua anak ialah isteri diorang tu. Kenapa pula mentua yang nak berlebih-lebih nak yang pilihan sendiri? Menantu tu nanti akan tidur dengan anak, bukan dengan mentua.

9. Jangan terlalu mengharap menantu akan ikut semua cara mentua. Nak potong bawang pun kena ikut cara mentua. Nak lipat baju pun kena ikut cara dia. Nak masak kena ikut masakan dia. Nak jaga anak pun kena ikut cara mentua. Cara lain semua salah. Dia je yang paling betul.

10. Jangan terlalu membebel kat menantu. Itu tak kena, ini tak kena. Itu salah, ini tak betul. Ada je benda nak betulkan.

11. Jangan asyik mengungkit benda yang dah berlalu. Kalau menantu tu ada buat salah 10 tahun yang lepas, setiap kali berjumpa akan mengungkit benda yang sama. Walaupun dah minta maaf.

12. Jangan menyindir menantu. Bila nampak rumah ada langsir baru, pinggan mangkuk baru, baju baru atau perabot baru, disindirnya konon menghabiskan duit anak.

13. Jangan sentiasa menyalahkan menantu walaupun anak sendiri yang tak berguna. Tak boleh terima kenyataan anak tu yang bermasalah, tapi menantu jugak yang dipersalahkan.

14. Jangan sentiasa nak komen masakan menantu. Tak sedap, tak garing, tak lembut, tak lemak, tak pedas, tak itu tak ini. Semuanya tak menepati citarasa.

15. Jangan mengutuk, mengumpat dan mengata menantu dengan orang luar. Yang tak kena semua dicerita. Akhirnya akan tinggalkan tanggapan yang buruk kepada menantu.

16. Jangan cakap kasar dengan menantu. Main AKU ENGKAU je macam menantu tu orang gaji.

17. Jangan berlebih-lebih mengajar cara mendidik anak. Setiap orang itu unik dan ada cara masing-masing, menasihati dan memberi cadangan itu tidak mengapa, tetapi memaksa itu dah masuk kategori lain.

18. Jangan menghina menantu yang tidak mendapat zuriat. Bab zuriat ni rezeki Allah. Bab zuriat ini ada banyak sebab. Bukan sebab menantu je, anak pun boleh jadi sebab.

19. Jangan membanding-bandingkan cucu. Sekolah, tahap pembelajaran, rupa paras, bentuk fizikal dan segala benda nak dibanding-bandingkan.

20. Jangan menyalahkan menantu bila terjadi apa-apa pada cucu. Contohnya cucu kurus, menantu tak bagi makan. Cucu gemuk, menantu bagi banyak sangat makan. Cucu tak pandai, sebab ikut otak menantu.

21. Jangan body shaming cucu. Macam pelik kan? Tak pelik. Cucu yang tak cantik dikatanya hidung kemek ikut maknya. Yang hensem, ikut anaknya pula. Habis diceritanya cucu anak yang ini hensem, anak yang itu gelap. Cucu yang ini cantik, yang itu huduh.

22. Jangan bermulut jahat. Menantu setan katanya. Menantu hantu. Cucu macam monyet la kura-kura la. Ini realiti tau.

23. Jangan melaga-lagakan menantu dan anak. Dah tak suka menantu tu, dihasutnya anak macam-macam. Difitnah menantu tu itu dan ini supaya anak jadi benci.

24. Jangan asyik nak iri hati. Bila anak buat sesuatu kat menantu, jeles terus. Anak belikan menantu bunga, nak bunga jugak. Anak belikan isteri dia kereta, dia pun nak kereta jugak.

25. Jangan sentiasa bandingkan menantu yang bekerja dengan menantu yang tak bekerja. Yang suri rumah tu dianggap makan tidur je. Yang bekerja diagung-agungkan.

26. Jangan labelkan menantu pemalas bila tak nampak dia buat kerja. Bukan semua benda kita tahu dan bukan setiap masa kita boleh nampak.

27. Jangan tuduh menantu bomohkan anak bila anak beri kasih sayang dan membantu kerja rumah isterinya.

28. Jangan suka mengarah menantu macam orang gaji.

29. Jangan ingat kita sahaja yang betul dan menantu tak layak untuk beri pandangan.

30. Jangan lebih menpercayai orang lain berbanding menantu. Bila ada benda terjadi, tak nak dengar langsung penjelasan menantu. Orang lain kononnya lebih tahu.

31. Jangan sedap sangat mengutuk besan depan anak dan menantu. Itu mak ayah menantu.
Itulah serba “sedikit” benda yang kita bakal mentua ni perlu elakkan. Kenapa? Kerana kita nak hasilkan rantaian keturunan yang penuh kegembiraan dan saling hormat menghormati.

Sebagai mentua, usahlah kita terlalu masuk campur dalam urusan rumah tangga anak menantu. Biarkan mereka mengemudi bahtera yang dibina dengan cara mereka sendiri. Sebagai mentua, jadilah mentua yang menyenangkan bukan ‘pengacau’ rumah tangga anak menantu.

Sumber kredit: Akhtar Syamir