Pemenang Ratu Inspirasi dalam pertandingan Ratu Hijabista, Fiffy Afrina merupakan seorang bakal doktor yang begitu komited dengan pengajiannya. Masih berada dalam tahun akhir pengajian, gadis ayu ini baru sahaja masuk ke set untuk penggambaran drama bersiri Angkara Cinta arahan Hadith Omar.

Berbicara soal ini, “Fiffy akan muncul di dalam episode ke-91 sebagai gadis bertudung yang dikenali sebagai Suri. Suri merupakan seorang ustazah yang mengajar mengaji di surau dan dia akan memiliki hubungan dengan watak Remy yang dilakonkan oleh Syazwan Zulkifly. Buat masa ni pengarah masih belum ada kata putus mengenai bilangan episod yang akan adanya watak Suri dan juga progression di dalam drama terbabit.”

Sebagai seorang pelajar perubatan, Fiffy yakin yang dia mampu menyeimbangkan masa di antara dua cinta ini, kerjaya dalam bidang perubatan dan juga sebagai anak seni.

IKLAN

“Bidang kedoktoran dan bidang seni merupakan dua perkara yang sangat berbeza. Namun sebagai mahasiswa perubatan, saya juga sangat meminati bidang seni seperti lakonan dan juga pengacaraan. Walaupun agak susah, saya cuba membahagikan masa untuk kedua-duanya. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Untuk drama Angkara Cinta ini, Fiffy bersyukur kerana penggambaran diadakan di Ipoh, tidak jauh dengan lokasi universiti. Jadi ini memudahkan pergerakan dan juga pembahagian masa,” jawabnya bila ditanya soal dua dunia yang berbeza ini.

IKLAN

MAHU LEBIH SERIUS

Apabila ditanya, gadis berusia 24 tahun ini menyatakan yang dia sememangnya berminat dan mahu lebih serius di dalam bidang seni. “Selepas menamatkan ijazah, saya ingin mencuba nasib dalam bidang lakonan dan juga pengacaraan dengan lebih serius dengan menghadiri sesi ujibakat.

IKLAN

“Selain itu jika ada kesempatan, saya juga ingin belajar lebih lagi tentang lakonan dan juga pengacaraan daripada orang yang lebih berpengalaman di dalam kedua-dua bidang ini,” ucapnya menyatakan langkah yang lebih serius usai tamat pengajian nanti.

Sumber gambar: Instagram Fiffy Afrina